KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 3 Mac depan bagi keputusan Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy atas pertuduhan meminda laporan audit 1MDB.
Pada tarikh itu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang mendengar kes berkenaan akan memutuskan sama ada bekas perdana menteri itu dan Arul Kanda dibebaskan atau dipanggil membela diri di akhir pendakwaan kes tersebut.
Menurut emel yang dihantar kepada pihak pendakwaan pada asalnya keputusan kes ditetapkan pada 30 Januari ini, namun ditangguhkan ke 3 Mac depan.
Bagaimanapun, tiada alasan diberikan berhubung penangguhan keputusan berkenaan.
Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib ketika dihubungi media mengesahkan tarikh baharu keputusan tersebut.
Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala pembelaan, peguam Tan Sri Shafee Abdullah mewakili Najib serta Datuk N.Sivananthan bagi pihak Arul Kanda Kandasamy.
Untuk rekod pendakwaan menutup kesnya pada 7 September tahun lalu selepas memanggil 16 saksi bagi memberi keterangan dalam perbicaraan berlangsung selama 43 hari bermula 18 Februari 2019.
Sementara itu pada 24 Jun 2022, mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan untuk memanggil Arul Kanda sebagai saksi bagi memberikan keterangan terhadap Najib mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pendakwaan kemudian menawarkan 18 saksi kepada pembelaan antaranya bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira Kira Wang Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
Antara saksi utama dipanggil memberikan keterangan antaranya bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Allahyarham Tan Sri Dr. Ali Hamsa; bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan Tan Sri Dr. Madinah Mohamad.
Najib, 69, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.
Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE