KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan dalam kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang merujuk `Perdana Menteri ketika itu’ sebagai `Big Boss’ yang didakwa menerima `cDioklat RM2 juta’ daripada seorang ahli perniagaan.
Maklumat tersebut didedahkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini berdasarkan perbualan WhatsApp di antara dua ahli perniagaan, Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dan G. Gnanaraja berhubung pemberian wang RM2 juta yang sebelum ini didakwa untuk Lim Guan Eng.
Maklumat itu dikemukakan ketika peguam Gobind Singh Deo sedang menyoal balas pegawai penyiasat forensik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penolong Penguasa Wan Mohd. Firdaus Wan Yusof pada perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagaimanapun saksi pendakwaan kelapan (SP8) tidak mengesahkan bahawa `Big Boss’ yang dimaksudkan oleh Gobind merujuk kepada `Perdana Menteri ketika itu’.
Perbualan yang berlangsung pada pagi 23 Julai 2017 itu antara lain menyebut Gnanaraja memberitahu Zarul Ahmad berkaitan upacara memotong kek sempena sambutan harijadi bersama `Big Boss’ pada sebelah malamnya.
Gnanaraja turut memaklumkan kepada Zarul Ahmad bahawa beliau akan menghubunginya sebaik sahaja meninggalkan Taman Duta.
Pada peringkat itu, Gobind menarik perhatian mahkamah bahawa tarikh lahir Guan Eng bukan pada 23 Julai dan anak guamnya juga tidak menetap di Taman Duta.
Hakim Azura Alwi menetapkan 15 Mac ini bagi mendengar permohonan pihak pembelaan untuk mendapatkan laporan forensik mengandungi perbualan WhatsApp di antara Zarul Ahmad dan Gnanaraja.
Mahkamah mengarahkan pihak pembelaan memfailkan permohonan sebelum 15 Februari ini.- KOSMO! ONLINE