IPOH – Kerajaan negeri menegaskan lantikan politik di Perak perlu mengikut kelayakan dan kemahiran bagi mengisi jawatan yang ditawarkan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, seseorang yang dilantik atas lantikan politik perlu ada kelayakan serta kemahiran dengan jawatan berkaitan bukan ahli politik semata-mata.
“Kita tidak mahu diperlihatkan bahawa lantikan politik ini adalah melantik orang politik sahaja. Apa yang penting adalah seperti mana di peringkat persekutuan juga orang yang dilantik ini adalah orang-orang yang mempunyai kelayakan.
“Tidak semestinya orang politik tetapi orang itu adalah orang yang mewakili parti perlu ada kelayakan dan kemahiran dengan jawatan yang diberi,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE