fbpx

Kelompok satu peratus terkaya bolot 40 peratus kekayaan di India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG gelandangan dan buruh harian beratur semasa sukarelawan mengagihkan makanan di sebatang jalan di New Delhi pada 20 Mei 2021. -- AFP

NEW DELHI – Satu laporan baharu mendapati segelintir individu terkaya memiliki 40 peratus kekayaan India pada 2021 sekali gus mendedahkan jurang pendapatan yang begitu ketara di negara berkenaan, lapor portal berita Arab News.

Individu terkaya di India membentuk cuma satu peratus daripada jumlah penduduknya.

Menjelang 2022, bilangan bilionair India meningkat kepada 166 orang berbanding 102 pada 2020, demikian menurut laporan bertajuk Survival of the Richest oleh pertubuhan kebajikan, Oxfam kelmarin.

Kelompok bilionair India menyaksikan nilai kekayaan mereka melonjak sebanyak 121 peratus sejak permulaan pandemik Covid-19 hingga November tahun lalu.

Dari 2012 hingga 2021, 40 peratus daripada kekayaan yang dihasilkan di India dinikmati oleh kelompok paling kaya dan hanya tiga peratus disalurkan kepada golongan paling miskin walaupun mereka membentuk 50 peratus populasinya.

Pada masa sama, penduduk India yang kelaparan juga bertambah kepada 350 juta orang tahun lepas berbanding 190 juta pada 2018.

Kelaparan meluas itu dikatakan menjadi punca kepada 65 peratus kematian dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah lima tahun pada 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif Oxfam India, Amitabh Behar berkata, berdasarkan populasi India seramai 1.4 bilion, data itu menunjukkan realiti yang menyedihkan.

“Ia merupakan cerminan kepada negara dan dunia mengenai realiti menyedihkan bahawa India benar-benar semakin menjadi negara untuk orang kaya.

“Kerajaan perlu mengubah dasarnya kerana jika tidak, situasi ini akan membawa kita kepada kemusnahan dan ketidakadilan yang berterusan,” jelasnya.

Situasi yang berlaku adalah orang miskin merupakan yang paling banyak perlu membayar cukai sedangkan golongan kaya mendapat manfaat pengecualian cukai.

Laporan sama menyebut, kira-kira 64 peratus hasil cukai barang dan perkhidmatan di India datang daripada 50 peratus populasinya yang terdiri daripada golongan bawahan. Hanya tiga peratus cukai itu disumbangkan oleh kumpulan atasan yang terdiri daripada 10 peratus populasi India. – Agensi
. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN