SHAH ALAM – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor memfokuskan rondaan dan penguatkuasaan di 23 lokasi titik panas kemalangan di negeri ini sepanjang Ops Tahun Baru Cina (TBC) 2023.
Lokasi itu antaranya Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan puluhan jalan persekutuan serta jalan negeri.
Pengarah JPJ Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, pihaknya akan menempatkan anggota di semua laluan itu secara statik atau rondaan kenderaan.
Katanya, statistik mendapati 23 lokasi itu dikenal pasti merekodkan lebih 10 kes kemalangan termasuk melibatkan kematian.
“Justeru, kita akan memberi tumpuan penguatkuasaan di kawasan titik panas itu sepanjang 10 hari operasi sehingga 27 Januari ini.
“Selain penempatan anggota, pengguna jalan raya lain digalakkan merakam gambar atau video kesalahan jalan raya dan menyalurkan aduan itu kepada JPJ bagi tindakan lanjut,” katanya selepas meninjau Ops TBC di Terminal Bas Seksyen 17 di sini, malam ini.
Jelas Khairul Khar, penguatkuasaan itu memfokuskan sembilan kesalahan utama antaranya memandu melebihi had laju, langgar lampu isyarat dan memotong di garisan berkembar.
“Selain itu, tumpuan melibatkan kesalahan tambahan seperti tidak memakai topi dan tali pinggang keledar serta memandu berbahaya dan tanpa lesen.
“Kita antaranya turut kekal menempatkan pegawai sebagai penumpang bas, pemeriksaan terminal atau depoh bas dan advokasi,” ujarnya.
Tambah Khairul Khar, seramai 325 anggota penguatkuasa ditugaskan bagi memastikan kelancaran operasi khas kali ini. -KOSMO! ONLINE