PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam melakukan lawatan ke wad kanak-kanak Hospital Kajang serta membawa pelbagai hadiah barangan mainan untuk diberikan kepada kanak-kanak di sana.
Ismail Sabri menerusi hantaran video yang dimuat naik di Instagramnya hari ini memaklumkan, tujuan awal beliau ke sana adalah untuk melihat perkembangan keadaan seorang kanak-kanak yang dipercayai didera dan ditinggalkan bersendirian di tepi jalan.
Dalam pada itu, beliau turut meluangkan masa menyantuni kanak-kanak lain yang berada di wad sama selain beramah mesra dengan penjaga mereka masing-masing.
“Menyantuni kanak-kanak yang sakit di wad kanak-kanak Hospital Kajang sempena saya melawat kanak-kanak yang dipercayai didera dan ditinggalkan bersendirian ditepi jalan.
“Ramai yang demam panas, selsema dan sesak nafas. Menurut doktor, sekarang musim kanak-kanak demam selsema dan mengalami masalah pernafasan,” katanya pada kapsyen video.
Sementara itu, Ismail Sabri mengingatkan ibu bapa untuk sentiasa peka dengan keadaan anak masing-masing serta mengamalkan langkah pencegahan yang baik bagi melindungi daripada dijangkiti penyakit.
“Kepada ibu bapa, jagalah kesihatan anak masing-masing dan ambil langkah lebih berhati-hati di musim demam ini,” pesannya.