fbpx

Ibu tunggal jual kasut bundle terima pencen penakat arwah suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nadzirah menunjukkan kasut bundle yang dijual di garaj rumahnya di Kampung Kubang Kual, Rantau Panjang hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

RANTAU PANJANG – Seorang wanita tidak mahu terus meratapi pemergian suaminya yang meninggal dunia 48 hari lalu apabila dia nekad memulakan perniagaan menjual kasut terpakai atau bundle di garaj rumahnya di Kampung Kubang Kual di sini.

Nadzirah Kamaruzzaman, 29, tiada pilihan lain untuk mencari rezeki bagi membesarkan seorang anak lelaki yang berusia empat bulan selepas suaminya, Mohamad Hafiz Sohani, 31, meninggal dunia.

Menurut Nadzirah, arwah suami yang bekerja sebagai juruteknik meninggal secara mengejut di tempat kerjanya di sebuah kilang di Shah Alam, Selangor pada awal Disember lalu.

Katanya, punca kematian suaminya masih dalam siasatan pihak hospital sehingga hari ini.

“Saya buntu memikirkan nasib anak yang masih kecil. Saya tiada pilihan lain dan terpaksa menggunakan wang sedekah daripada orang ramai yang menziarahi kami sekeluarga sebanyak RM2,000 untuk dijadikan modal berniaga.

“Berbekalkan wang itu, saya mula mendapat stok kasut terpakai seminggu selepas kematian suami. Sebelum ini, saya bekerja di kilang sama dengan arwah suami. Selepas dia meninggal dunia, saya terus berhenti dan pulang ke kampung” katanya ketika ditemui pemberita semasa menerima kunjungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan di rumahnya hari ini.

Sementara itu Timbalan Pengarah Perkeso Kelantan, Wan Izani Wan Isa berkata, Nadzirah layak mendapat pencen penakat sebanyak RM1,746 sebulan seumur hidupnya manakala syer bayaran pencen penakat untuk anaknya sehingga mencapai usia 21 tahun.

Katanya, Perkeso Kelantan melalui skuad Perkeso Prihatin telah bertindak segera mengunjungi balu arwah Mohamad Hafiz untuk urusan pencen penakat.

“Nadzirah juga layak menerima faedah pengurusan jenazah sebanyak RM2,000,”katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI