PUTRAJAYA – Harga runcit petrol bagi RON95 dan RON97 kekal masing-masing pada paras RM2.05 dan RM3.35 seliter bagi tempoh 19 hingga 25 Januari 2023.
Kementerian Kewangan berkata, pada masa sama, harga diesel juga dilaporkan kekal pada paras RM2.15 seliter bagi tempoh berkenaan.
Katanya, penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan itu menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism.
“Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan masih mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk melebihi paras harga siling ditetapkan.
“Kerajaan juga akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi. – KOSMO! ONLINE