PETALING JAYA – Seorang penunggang motosikal yang bertindak memotong di garisan berkembar tercampak selepas merempuh sebuah Perodua Myvi yang hendak keluar daripada simpang jalan.
Rakaman video papan pemuka (dashboard) dimuat naik @isusemasaviral menunjukkan tindakan penunggang motosikal berkenaan yang memecut laju dan memotong di garisan berkembar (double line) sebelum berlanggar dengan sebuah Myvi.
Kejadian itu mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai termasuk ada yang bersimpati dengan nasib pemandu kereta berkenaan.
“Penunggang motosikal memotong di ‘double line’. Kasihan pemilik kereta itu, terpaksa menggunakan insurans sendiri untuk membaik pulih kenderaannya,” ciap seorang pengguna, @fiedo_did0.
“Kereta tengah memandu perlahan, bawalah motosikal itu perlahan-lahan juga. Kita tidak tahu apa yang berlaku di hadapan,” komen @naimmrosli.
“Pemandu Myvi tidak bersalah, tetapi dia akan pening hendak membaiki keretanya nanti,” ciap netizen lain, @geegeekajang.
Hantaran video berdurasi 45 saat itu telah meraih 12,000 jumlah tontonan setakat ini. – KOSMO! ONLINE