MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag hampir pasti perlu menggunakan sistem penggiliran pemain menjelang aksi menentang Crystal Palace awal pagi esok di Selhurst Park.
Selepas mencatat kemenangan bergaya menewaskan jiran mereka, Manchester City Sabtu lalu, Ten Hag perlu mengambil kira proses pemulihan para pemain ketika mereka terpaksa memberikan aksi fizikal dan memenatkan.
Ia bagi memastikan para pemain yang diturunkan nanti mampu memberikan aksi terbaik ketika United sedang berada pada kemuncak prestasi selain mereka juga bakal bertandang ke Emirates untuk menentang Arsenal awal pagi Isnin nanti.
Penggempur sensasi mereka, Marcus Rashford mungkin akan direhatkan pada aksi kali ini atau sekurang-kurangnya hanya akan dimasukkan sebagai pemain gantian.
Selain itu, dua lagi pemain yang mungkin akan direhatkan adalah Raphael Varane serta Casemiro yang perlu benar-benar cergas untuk aksi menentang The Gunners nanti.
Ketiadaan beberapa pemain utama membuka peluang kepada beberapa pemain lain seperti Alejandro Garnacho yang mungkin akan turun beraksi sepenuh masa, selain Lisandro yang akan kembali menguatkan benteng United.
Kekosongan yang ditinggalkan oleh Casemiro mungkin mampu diisi oleh beberapa pemain lain seperti Fred dan Scott McTominay.
Sementara itu, pemain baharu, Wout Weghorst mungkin akan membuat penampilan pertama mengemudi jentera serangan United menggantikan Rashford pada aksi berkenaan. – AGENSI