fbpx

DSR Taiko buka francais di China dan Taiwan jual produk durian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Bahria (dua dari kanan) merasmikan Majlis Perniagaan Holistik SIRIM-DSR Taiko di Bangunan SIRIM, semalam.

SHAH ALAM – Penyedia produk durian Musang King, DSR Taiko Berhad menyasarkan membuka enam cawangan jenama D-Masking menerusi sistem perniagaan francais di luar negara pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ng Lian Poh berkata, ini melibatkan lima cawangan di China dan satu di Taiwan dalam usaha mengukuhkan pasaran dan peniagaan syarikat.

Jelasnya, pihaknya kini bukan setakat mengeksport durian mentah ke banyak negara, malah memfokuskan kepada promosi produk hiliran yang boleh memberikan margin keuntungan yang lebih baik.

Ini termasuk produk berasaskan durian dalam bentuk kudapan, minuman dan pencuci mulut seperti piza serta kopi durian.

“Secara langsung ini memberikan lebih margin keuntungan kepada francaisi, selain menjadikan perniagaan kami lebih mampan untuk jangka panjang.

“Peladang durian kemudiannya akan dapat meningkatkan produktiviti seterusnya beroleh lebih pendapatan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis Penyelesaian Perniagaan Holistik Dari Dusun Durian Musang King Kepada Pengguna antara pihaknya dan SIRIM yang disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Bahria Mohd. Jamil.

Lian Poh (tengah) pada sidang media selepas majlis pelancaran kerjasama semalam.

DSR Taiko memperoleh durian dari ladangnya di Raub dan Bentong, Pahang yang berkeluasan kira-kira 40.46 hektar.

Mengulas kerjasama bersama SIRIM, Lian Poh memberitahu ia dapat menjamin kualiti dan standard industri menerusi Sistem Pengesanan Bersepadu Musang King (MKITS) bagi mengetahui punca dan lokasi pokok durian.

Justeru katanya, pengguna boleh mengetahui secara jelas durian yang digunakan pihaknya termasuk bila durian itu ditanam dan dipetik untuk dijual di pasaran.

“Pengiktirafan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGap) diterima yang membuktikan produk kami selamat untuk dimakan dan ini amat penting dalam membina imej syarikat.

“Syarikat telah banyak melabur dalam bidang kajian dan penyelidikan bagi meningkatkan mutu durian Musang King kami,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI