fbpx

[VIDEO] Biar mahkamah tentukan, mereka lagi arif – Sharnaaz Ahmad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHARNAAZ AHMAD tenang selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencederakan seorang lelaki di mahkamah hari ini.

PETALING JAYA – Pelakon Sharnaaz Ahmad bersedia dengan segala kemungkinan keputusan mahkamah berhubung pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki di sebuah kondominium Jun tahun lalu.

Pemilik nama lengkap, Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad itu berkata, dia tidak berada pada kedudukan menentukan sama ada dirinya bersalah atau sebaliknya.

“Nak kata saya salah atau betul, itu bukan saya atau siapa-siapa yang akan tentukan di sini. Jadi, itu kita serahkan kepada pihak mahkamah. Mereka yang lebih arif tentang perkara tersebut.

“Nak kata sama ada kita bersedia atau tidak, kita perlu juga bersedia. Benda dah pun berlaku. Benda yang terjadi ada sebab. Dan, benda yang terjadi, ada yang betul di belakangnya,” katanya.

Hari ini, pelakon yang cukup dikenali menerusi drama rantaian, Suamiku Encik Sotong itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan tersebut.

Sharnaaz selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.

Sementara itu, peguamnya, Datuk Abu Bakar Isa Rahmat berkata, anak guamnya mengaku tidak bersalah dan sudah pun diikat jamin sebanyak RM2,000.

“Sharnaaz dituduh bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan,yang mana pertuduhan dibacakan kepada Sharnaaz dan Sharnaaz mengaku tidak bersalah dan mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin iaitu pengurus Sharnaaz.

“Mahkamah menetapkan tarikh sebutan akan datang adalah pada 6 Mac untuk serahan dokumen, dan pihak peguam akan memfailkan representasi pada pihak pendakwaan untuk memohon untuk menggugurkan tuduhan.

“Jadi buat masa ini, pihak kami akan mengumpulkan dokumen yang akan diberikan kepada pihak pendawaan pada 6 Mac nanti. Status anak guam mengaku tidak bersalah dan dia sudah dijamin dan proses jaminan sudah diselesaikan sebentar tadi. Insya-Allah kita akan jumpa pada 6 Mac 2023,” katanya.

Pada 16 Jun tahun lalu, polis menahan Sharnaaz selepas didakwa menumbuk dan menendang seorang lelaki sebuah kondominium di Segambut, di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, dilaporkan berkata kejadian bermula apabila mangsa yang juga pengawal keselamatan di tempat lain meminta rakannya membeli minyak masak.

Bagaimanapun, rakannya itu tidak dibenarkan masuk oleh pengawal keselamatan kondominium berkenaan sehingga menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka berdua.

Sharnaaz yang menyaksikan insiden berkenaan masuk campur sebelum mangsa dakwa ditumbuk hingga lebam pada muka.

Rentetan insiden terbabit, Sharnaaz direman empat hari dan dibebaskan sementara kertas siasatan lengkap untuk pertuduhan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI