KUALA LUMPUR – Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Platinum pada Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah 2022 (AIGA 2022).
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof kepada Pengarah Urusan Kumpulan Bernas Datuk Haris Fadzilah Hassan.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM) Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata sebanyak 116 penyertaan dari organisasi merangkumi sektor awam dan swasta di seluruh negara.
Katanya, dari jumlah tersebut 92 organisasi terpilih menerima anugerah berkenaan merangkumi 16 anugerah emas, perak (34), gangsa (42).
“Sambutan ini menzahirkan komitmen ramai pihak tentang peri pentingnya pengamalan budaya integriti dan tata kelola terbaik dalam organisasi,” katanya pada Majlis Penyampaian AIGA 2022 di sini malam ini.
Tambahnya, penganjuran AIGA akan menjadi acara tahunan IIM dengan kiteria penilaian akan ditambahbaik pada masa akan datang.
“AIGA juga berupaya menyokong agenda ke-16 di dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang mensasarkan antara lain mengurangkan sebahagian besar suapan dan rasuah dari pelbagai bentuk.
“Sekali gus membangunkan institusi yang efektif, bertanggungjawab dan telus di semua peringkat menjelang tahun 2030,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE