MADRID – Pelumba baharu pasukan Ducati, Enea Bastianini mengakui tidak sabar untuk mengharungi kempen MotoGP musim 2023 dengan menyatakan juara bertahan, Francesco Bagnaia dan jaguh Repsol Honda, Marc Marquez sebagai pencabar utama.
Sebagai rekod, Bastianini yang berusia 26 tahun dianggap sebagai salah seorang pelumba berbakat ketika ini sehingga ‘dinaikkan pangkat’ oleh pihak pengurusan untuk menyertai Ducati selepas cemerlang bersama Gresini Racing musim lalu.
Menurut Bastianini, kehadirannya ke dalam pasukan Ducati bukanlah sebagai ‘pengacau’ sebaliknya mahu memberi saingan sengit kepada rakan sepasukan, Bagnaia yang tampil cemerlang menjuarai gelaran dunia tahun lepas.
“Sudah tentu di atas litar permusuhan boleh berlaku, tetapi percayalah saya dengan Bagnaia saling menghormati antara satu sama lain kerana kami juga sahabat yang baik di luar litar.
“Saya telah mengenali Bagnaia sejak kecil, tetapi inilah kali pertama kami berdua digandingkan dalam pasukan yang sama. Sudah tentu saya hormat kepadanya selaku pelumba utama dan juara dunia, tetapi tidak bermakna saya akan memberikan jalan mudah kepadanya untuk bergelar juara lagi,” katanya.
Mengulas lanjut, Bastianini turut menganggap Marquez sebagai salah seorang calon untuk merampas kejuaraan dunia musim ini selepas hampir tiga tahun bergelut dengan masalah prestasi ekoran kecederaan serius.
“Di atas kertas, Marquez masih lagi pelumba terbaik dunia dan anda boleh lihat rekod dan sejarah yang telah dicipta sebelum ini. Tidak keterlaluan untuk saya katakan dia adalah calon kegemaran semua orang untuk menang pada musim ini,” katanya. – AGENSI