fbpx

Audit bukan penganiayaan, sebaliknya membantu bendung rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Audit bukan bertujuan untuk menakutkan pekerja atau bentuk penganiayaan.

TIDAK dinafikan, apabila mendengar sahaja perkataan audit, ramai individu terutama yang diaudit berasa tidak selesa dan resah.

Seolah-olah proses audit ini hanya mahu mencari kesalahan seseorang dan merupakan satu bentuk penganiayaan.

Perspektif negatif seperti ini sekiranya terus membina hanya akan menakutkan pekerja dan menyebabkan audit dalam atau dalaman dianggap bertentangan dengan pihak yang diaudit.

Kenapa audit dalam atau dalaman itu penting? Apa itu audit?

Audit dalam merupakan satu fungsi bebas yang memberi kepastian dan khidmat perundingan secara objektif untuk menambah nilai serta mempertingkat tahap operasi organisasi.

Ia juga berperanan untuk membantu sesebuah organisasi mencapai matlamatnya melalui pendekatan yang sistematik serta berdisiplin untuk menilai dan menentukan keberkesanan semua proses kawalan serta tadbir urus.

Selama bertahun-tahun, audit dalam telah berkembang menjadi aktiviti sangat profesional yang menjangkau penilaian kecekapan serta keberkesanan semua aspek operasi organisasi termasuk kewangan dan bukan kewangan.

Bagi membantu proses penambahbaikan ini, Institut Integriti Malaysia (IIM) juga menyediakan konsultasi Anti-Bribery Management System (ABMS) ISO 30071:2016, yang mengandungi latihan khas berkenaan audit dalam, khusus bagi pembangunan ABMS mengikut piawaian antarabangsa.

ABMS adalah satu produk untuk mencegah, mengesan dan menangani kes rasuah dalam sesebuah organisasi, menggunakan pendekatan pencegahan awal dengan mengenal pasti risiko-risiko rasuah terhadap individu di sesebuah organisasi berdasarkan fungsi-fungsi sesebuah jabatan, unit mahupun bahagian bagi menutup ruang untuk membasmi kegiatan rasuah.

Antara manfaat yang ABMS berikan adalah dapat mengurangkan risiko amalan rasuah di peringkat dalaman dan luaran, di samping memberikan impak positif terhadap prestasi organisasi termasuk penjimatan kos operasi, pengurusan aduan, perolehan dan tadbir urus.

Seterusnya, pelaksanaan ABMS bagi sesuatu organisasi juga dapat meningkatkan keyakinan pelanggan, pelabur dan juga pihak berkepentingan.
Persis kata cendiakawan, C.S. Lewis.

“Integrity is doing the right thing, even when no one is watching us.”

Konsultasi ABMS ISO 30071:2016, yang mengandungi latihan khas berkenaan audit dalam ini sedikit sebanyak dapat membantu organisasi-organisasi berkembang maju dalam membantu pencegahan dan membendung kegiatan rasuah itu berlaku.

Selari dengan usaha menggalakkan pembangunan ABMS dipertingkat oleh organisasi awam dan swasta, IIM turut mewujudkan inisiatif seperti Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA).

AIGA merupakan satu anugerah bagi memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada sektor awam dan swasta yang menzahirkan komitmen serta kebertanggungjawaban dalam usaha memperkasa pembudayaan dan pengamalan integriti, tadbir urus terbaik serta inisiatif antirasuah dalam organisasi masing-masing.

Ia secara langsung akan menggalakkan usaha pematuhan audit terlaksana dengan lebih berkesan.

Selain itu, IIM juga akan menganjurkan Forum ABMS pada bulan Februari 2023 bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran mengenai ABMS; menyediakan platform perkongsian pengalaman dalam pelaksanaan dan

pensijilan ABMS dan mengenal pasti isu serta cabaran dalam pelaksanaan ABMS.

Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi yang digariskan dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) supaya ‘Malaysia dikenali kerana integritinya dan bukannya rasuah’.

Pendedahan dan kesedaran terhadap kepentingan penerapan nilai integriti dalam diri setiap individu juga perlu diberi perhatian khusus.

Jika tidak dipraktikkan secara berterusan dan tidak mendapat kerjasama daripada semua pihak, nilai ini akan semakin terkubur.

Jika semua pihak berganding bahu ibarat bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, sudah pasti akan dapat melahirkan warga Malaysia yang kaya dengan sifat integriti.

Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim telah menjelaskan bahawa hati atau jantung ini merupakan salah satu organ yang penting di dalam badan atau jasad manusia kerana ia akan menentukan sama ada baik atau buruknya jasad (akhlak) seseorang itu.

Daripada Nu’man Basyir berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung)”.

Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Integriti Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI