fbpx

Apa kata cuba bertanding jawatan Naib Presiden dulu – Nur Jazlan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nur Jazlan

PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahli Parlimen Sombrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dicabar untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO terlebih dahulu.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed melalui hantaran di Facebooknya hari ini berkata, pertandingan ketiga-tiga mereka bukan sahaja dinantikan oleh ahli tetapi juga oleh pihak luar.

“Rakyat memang ternanti-nantikan pertembungan epik tersebut kerana mahu tahu tahap populariti mereka.

“Mungkin Ismail Sabri boleh bersedia mempertahankan kerusi itu yang disandangnya sekarang. Hishamuddin pun boleh juga test market adakah dia benar-benar popular dalam kalangan ahli akar umbi dan perwakilan.

“Khairy pula boleh juga cuba nasib di kerusi Naib Presiden itu selepas pernah kalah dalam perebutan kerusi Presiden pada 2018 lalu,” tulisnya.

Nur Jazlan membuat cabaran tersebut selepas isu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang sah tidak dipertandingkan masih diperkatakan walaupun perwakilan bersetuju supaya dua jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan.

Beliau juga secara sinis menyindir Ismail Sabri yang membantah tidak diadakan pertandingan walaupun dalam perhimpunan minggu lalu bangun berdiri untuk menyokong usul yang dibawa oleh perwakilan.

“Sepatutnya kalau sudah setuju duduk diam saja dan kalau tak setuju, jangan duduk gatal-gatal nak bangun dan sokong.

“Saya dapat rasa sebenarnya dia tak puas hati sebab dia satu-satunya Naib Presiden yang tak dipilih untuk jadi menteri angkat kepada negeri-negeri yang akan terlibat dengan PRN nanti.

“Bila Presiden UMNO sebut nama Khaled dan Mahdzir tapi nama Ismail Sabri tak ada, dia kena terima hakikat. Mungkin presiden sudah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap beliau asbab macam-macam perkara yang dibuat menongkah arus sepanjang jadi PM dulu,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI