PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa negeri berkuat kuasa hari ini sehingga 21 Januari ini.
Menurut kenyataan dikeluarkan MetMalaysia, kawasan-kawasan terlibat meliputi daerah Pekan dan Rompin di Pahang, Segamat, Keluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru, bagi negeri Johor.
“Selain itu, MetMalaysia juga mengeluarkan amaran hujan berterusan (waspada) peringkat kedua bermula Jumaat ini sehingga 22 Januari depan melibatkan negeri Kelantan, Terengganu dan daerah Kuantan di negeri Pahang.
“Justeru, penduduk tempatan diminta untuk sentiasa berhati-hati dan cakna dengan segala amaran dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan terutamanya bagi mereka yang menetap di kawasan rendah,” jelasnya menerusi satu kenyataan.
Dalam pada itu, pada ketika ini, hujan sedang melanda di beberapa tempat melibatkan kawasan persisiran pantai bagi negeri Kelantan serta Terengganu.
Manakala bagi wilayah Sabah dan Sarawak, hujan lebat dan ribut petir sedang melanda di beberapa kawasan melibatkan bahagian Barat Sarawak dan keadaan ini dijangka reda dalam beberapa jam lagi. – KOSMO! ONLINE