KLANG – Seramai 41 anggota termasuk seorang pegawai polis dikenakan tindakan tatartertib atas pelbagai salah laku dan masalah displin tahun lalu.
Tindakan itu meliputi sebanyak 17 kertas siasatan yang telah dibuka termasuk kes dadah dan pemerasan.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, kesemua individu itu masih dalam proses tindakan dan melibatkan kes di mahkamah.
Kata beliau, pihaknya tidak sesekali berkompromi dengan penglibatan jenayah seperti dadah dan pemerasan biarpun hanya beberapa kes direkodkan.
“Mereka ditahan kerja sepanjang perbicaraan kes di mahkamah dan akan dibuang sekiranya disabitkan kesalahan.
“Bagi pegawai atau anggota yang melakukan kesalahan lain, mereka kebiasaannya akan diberi amaran dan tindakan tatertib mengikut peraturan ditetapkan,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan IPD Klang Utara di perkarangan Balai Polis Kapar di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya berjaya menurunkan kadar penyelesaian kes sebanyak 54 peratus dan 41 peratus pertuduhan sepanjang tahun lalu.
“Jumlah itu meliputi penahanan 644 individu dalam aktiviti perjudian dan kejayaan menumpaskan kes lombong bitcoin haram berjumlah RM282,500.
“Selain itu, seramai 1,238 individu diberkas atas pelbagai kesalahan dadah yang meningkat 30 peratus berbanding pada 2021,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahagian Siasatan dan Penguatkuasa Trafik turut mencatatkan prestasi positif dengan mengeluarkan sebanyak 47,813 saman berjumlah RM879,630. -KOSMO!ONLINE