fbpx

Yang Dipertua Dewan Rakyat terkhilaf buat keputusan – Muhyiddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin.

PETALING JAYA – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Yang Dipertua Dewan Rakyat telah terkhilaf selepas memutuskan tidak berlaku kekosongan di empat kerusi Parlimen dimenangi bekas ahli parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, keputusan yang dibuat Datuk Johari Abdul adalah berdasarkan tafsiran beliau mengenai Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu yang menyatakan seorang ahli gugur keahliannya secara serta-merta apabila menyertai mana-mana parti politik lain.

Namun katanya, fasal ini tidak terpakai kepada empat Ahli Dewan Rakyat tersebut kerana mereka adalah ahli Bersatu dan Bersatu adalah pengasas serta parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada masa itu.

Jelas Muhyiddin, GRS tidak boleh ditafsirkan sebagai “parti politik lain” mengikut semangat dan intipati Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu.

“Saya percaya Yang Dipertua Dewan Rakyat telah terkhilaf dalam membuat tafsiran Perlembagaan Bersatu dan dengan itu keputusannya juga adalah terkhilaf.

“Yang Dipertua Dewan Rakyat bukanlah pihak yang mempunyai kuasa untuk mentafsir Perlembagaan Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, semalam, Johari memutuskan tidak berlaku kekosongan empat kerusi Parlimen dimenangi bekas ahli Bersatu Sabah atas tiket GRS pada PRU15 lalu.

Muhyiddin menambah, jika pun terdapat perselisihan dalam mentafsir Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu, Fasal 27 Perlembagaan Bersatu memperuntukkan kuasa untuk memberikan tafsiran yang muktamad terletak pada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

Maka, dalam hal ini kata beliau, hanya MPT Bersatu boleh menentukan sama ada empat Ahli Dewan Rakyat tersebut telah gugur keahlian mereka serta-merta apabila mereka menyertai GRS.

“Adalah jelas Yang Dipertua Dewan Rakyat telah membuat tafsiran khilaf berkenaan Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Memandangkan kuasa mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang terletak pada mahkamah, maka Bersatu akan merujuk perkara ini ke mahkamah supaya keluhuran undang-undang sentiasa terpelihara,”ujarnya.

Pada masa sama, Pengerusi Perikatan Nasional berkata, mahkamah adalah tempat yang sesuai untuk mendapatkan keadilan dalam hal ini memandangkan Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada parti Pakatan Harapan adalah pihak yang berkepentingan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI