KLANG – Polis belum menerima laporan kehilangan ahli keluarga atau waris berkaitan kes penemuan mayat dalam guni di tepi Jalan Persiaran Aman Perdana 1 di sini, 12 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya masih dalam proses pengecaman bagi mengenalpasti identiti mayat berkenaan.
Katanya, proses itu mengalami sedikit kesukaran berikutan keadaan mayat yang sudah reput.
“Setakat ini, tiada laporan polis berkaitan kehilangan ahli keluarga diterima di sekitar Klang dan Shah Alam.
“Namun, kita sudah meminta bantuan agensi berkaitan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenainya,” katanya ketika ditemui pada program Walkabout sempena Tahun Baharu Cina di Pasar Pagi Taman Eng Ann di sini, hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan satu mayat dipercayai lelaki yang mulai mereput ditemui berbungkus di dalam sebuah guni berwarna putih di tepi Jalan Persiaran Aman Perdana 1, di sini kira-kira pukul 6.10 petang pada 12 Januari lalu.
Jelas Vijaya, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan mayat itu warga asing kerana tiada dokumen pengenalan diri dan mayat itu masih berada di Hospital Shah Alam bagi proses bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan You Swee Leong di talian 012-4071452 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di 03-32912222 serta balai polis berhampiran,” ujarnya.
Dalam pada itu, Vijaya menasihatkan penduduk daerah ini supaya mengisi borang maklumat balik kampung sebagai langkah mencegah jenayah sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina.
“Ini bagi memudahkan lagi anggota polis menjalankan pemantauan rondaan cegah jenayah secara menyeluruh di kawasan berkenaan,” katanya. -KOSMO!ONLINE