KLANG – Bekalan telur ayam yang tidak stabil menyebabkan seorang pengusaha kuih bahulu ikan koi yang terkenal di daerah ini terpaksa menghadkan jumlah tempahannya sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina.
Pujiah Baharan, 63, berkata, dia hanya mengambil tempahan sebanyak 3,000 biji bahulu ikan koi saiz kecil dan besar bagi para pelanggannya.
Katanya, kekurangan telur itu memberikan kesan kepada perniagaanya berbanding sebelum ini yang mampu menghasilkan sehingga 5,000 bahulu pada perayaan tersebut.
“Ramai mahu menempah namun saya terpaksa menolak dengan baik susulan kekurangan bekalan telur.
“Masalah itu diluar jangkaan saya dengan telur adalah antara bahan utama kepada pembuatan bahulu tersebut,” katanya ketika ditemui hari ini.
Kata Pujiah, pihaknya juga terpaksa menaikkan harga bagi satu kotak mengandungi enam biji bahulu pada harga RM70 berbanding RM65 susulan kenaikan bahan mentah.
Tambahnya, ketika ini tempahan hanya diambil dari Lembah Klang dan satu daripada Taiping di Perak.
“Banyak pesanan diterima dalam kalangan orang Melayu yang ingin menghadiahkan bahulu ikan koi tersebut kepada rakan mereka yang berbangsa Tionghua.
“Sebagai rakyat Malaysia, saya berbangga kerana mampu menyediakan bahulu tersebut yang merapatkan atau mengeratkan dua budaya di negara ini,” katanya. -KOSMO!ONLINE