SEREMBAN – Kira-kira 140,000 wanita berusia di bawah 55 tahun telah berdaftar dengan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) hanya selepas sebulan setengah skim itu dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, sekurang-kurangnya 3 juta wanita di negara ini layak mencarum dengan SKSSR di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838).
Menurut beliau, skim itu bertujuan untuk memberi perlindungan keselamatan sosial kepada suri rumah terhadap bencana domestik, keilatan ataupun kematian sewaktu menguruskan rumah tangga.
“Demi menjaga kebajikan kumpulan ini terutamanya daripada golongan rentan, kerajaan telah memperuntukkan RM20 juta untuk menaja caruman SKSSR kepada 150,000 suri rumah yang berdaftar dengan e-Kasih dan mencarum di bawah i-Suri KWSP.
“Susulan inisiatif tersebut Perkeso telah menjalankan rujuk silang data 135,357 penerima e-Kasih yang mencarum dgn i-Suri dengan data daripada Jabatan Pendaftaran Negara.
“Hasil daripada proses tersebut, Perkeso mendapati, seramai 37 suri rumah yang dilindungi SKSSR telah meninggal dunia dalam tempoh 1 Disember tahun lalu hingga 11 Januari lalu. Ini sekali gus melayakkan waris kepada suri rumah terbabit menerima manfaat SKSSR,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Faedah SKSSR kepada waris suri rumah berinsurans di pejabat Perkeso Negeri Sembilan di sini semalam.
Turut hadir Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Sempena majlis berkenaan, Sivakumar menyantuni waris kepada empat daripada Suri Rumah Berinsurans (SRB) tersebut yang mana tiga daripada mereka merupakan ibu tunggal.
Mereka, adalah Allahyarhamah Zainab Mamat yang meninggal dunia pada 5 Disember tahun lalu, Allahyarhamah Siti Noraseyah Abu Hassan (14 Disember 2022), Alahyarhamah Aniza Muhamad Zin (5 Januari 2023) dan Mendiang Anjalai Mariyappan (25 Disember 2022).
Sivakumar menjelaskan, di bawah Akta 838, waris kepada SRB yang meninggal dunia layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000, manakala bayaran berkala Pencen Penakat sebanyak maksimum RM300 sebulan disediakan mengikut kelayakan syer orang tanggungan.
Menurut beliau, faedah berkenaan dibayar kepada orang tanggungan seperti duda dan anak-anak yang layak apabila SRB meninggal dunia sebelum mencecah usia 55 tahun.
Sementara itu, waris Zainab, Che Noor Shamimi, 25, berkata, dia terkejut sebaik mengetahui arwah ibunya yang meninggal akibat serangan jantung terpilih mendapat manfaat SKSSR.
“Rasa bersyukur sangat, wang ini akan diterima setiap bulan dan boleh digunakan kembali untuk kenduri tahlil arwah ataupun sedekah.
“Manfaat ini akan saya guna sebaik mungkin, malah selepas diberikan penerangan oleh kakitangan Perkeso, saya rupanya layak untuk mencarum dan akan segera berbuat demikian demi manfaat anak-anak saya pula,” katanya.
Bagi seorang lagi waris keluarga, Siti Noraseyah, Alif Danial Samdin, 18, berkata, wang tersebut sangat besar nilai buatnya lebih-lebih lagi dia memerlukan wang untuk berulang-alik ke Giat Mara Kuala Pilah dari Repah, Tampin kerana menyambung pelajaran dalam bidang kemahiran di sana. -KOSMO! ONLINE