fbpx

Serangan penggodam ATM mungkin atas kepentingan organisasi, peribadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shamsuddin pada Hari Kesedaran Satelit 2023, di Kompleks Haigate ATM, di sini hari ini. -Foto SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Serangan penggodam ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dipatahkan tempoh hari berkemungkinan mempunyai pelbagai agenda untuk kepentingan peribadi atau organisasi.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP), Laksamana Muda Datuk Shamsuddin Ludin berkata, tuduhan terhadap organisasi yang menyerang tidak boleh dibuat secara melulu.

Katanya, dalam dunia serba moden, serangan menggunakan alamat protokol internet (IP) yang sudah dikaburkan menyebabkan kedudukan sebenar penggodam sukar untuk kenal pasti.

“Kita tidak boleh nyatakan ancaman ini dikelola oleh negara A, kita tahu serangan itu dan kita tahu dari mana ia datang, namun teknologi digunakan mereka telah mengaburi kedudukan sebenar hingga menyukarkan kita.

“Agenda mereka mungkin ingin mencuba kemahiran sendiri, atau ada pihak berkepentingan menaja mereka untuk membuat serangan bagi menjual ‘firewall’ terbaru, dan juga ingin meneroka keberkesanan sistem baharu yang dibina,” katanya dalam sidang akhbar Hari Kesedaran Satelit 2023 di Auditorium Binary BSEP, Kompleks Haigate ATM, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Shamsuddin menegaskan, pasukannya sentiasa bersedia menghadapi serangan siber dari mana-mana pihak dan menjamin kebocoran data tidak berlaku.

“Kita bukan hanya bertindak sewaktu serangan siber, tindakan kita berterusan di waktu krisis, aman, dan peperangan, sebelum serangan lagi kami sentiasa selia sistem kami. Oleh itu tiada persoalan anggota ATM tergopoh-gapah sewaktu menerima serangan siber tidak berlaku.

“Serangan yang digunakan tidak berlaku di ATM sahaja, agensi lain turut menerima tempias yang sama lebih-lebih lagi e-mel pancingan, jadi kita dapat terus mengawal selia aplikasi dan rangkaian yang digunakan agar kekal selamat,”

Terdahulu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang menegaskan keseluruhan rangkaian komunikasi ATM yang terdedah kepada capaian internet di dapati kekal selamat.

Kata beliau, aktiviti penggodam telah dikesan awal dan tindakan pencegahan telah dilaksanakan sewajarnya.

“Modus operandi kumpulan penggodam baharu yang dikesan adalah penggodam melaksanakan e-mel pancingan dengan cubaan serangan secara rawak ke rangkaian e-mel rasmi yang digunakan oleh beberapa agensi di Kementerian Pertahanan dan ATM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media yang menyatakan kumpulan penggodam ‘Dark Pink’ yang menggunakan emel pancingan data dan perisian lanjutan untuk menjejaskan pertahanan tentera di Filipina dan Malaysia,serta organisasi kerajaan di Kemboja, Indonesia dan Bosnia-Herzegovina. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI