PETALING JAYA – Memilih tidak mengulas kes permohonan cerai menantunya kepada media, Datin Patimah Ismail dilihat lebih selesa meluahkan perasaan menerusi laman sosial.
Ibu kepada pengarah kontroversi, Syamsul Yusof itu memuat naik petikan daripada sebuah majalah berkenaan poligami dipercayai merujuk pernikahan anaknya, Syamsul Yusof dengan Ira Kazar.
“Islam tidak menyuruh berkahwin lebih daripada seorang, tetapi membenarkannya dengan bersyarat.
“Poligami yang memecahbelahkan itu bukan mengikut sunnah,” tulis paparan tersebut.
Menerusi hantaran lain, Patimah berkongsi semula sebuah video seorang anak muda yang bercakap mengenai kepentingan menjaga hati seorang emak.
“Mak bukan nak duit, dia tak nak pun duit kita, dia tak pakai pun duit yang kita bagi. Seorang mak cuma nak hatinya tenang.
“Dia nak kita dengar apa pandangan dia, nasihat kalau nak buat keputusan. Rujuk kepadanya dulu sebelum buat apa-apa.
“Ikut logik berapa lama lagi usia mak kita. Salahkah (kalau) kita tenangkan hati dia, dengar cakap dia,” kata pemuda tersebut dalam video berkenaan.
Meninjau ruangan komen pemilik akaun tersebut, ada pengikut Instagram Patimah mengakui ‘terlajak’ ke situ disebabkan perkongsian ibu sutradara itu.
“Hadir dari (Insta) Story mak Syamsul,” katanya.
Sejak kemelut rumah tangga Syamsul dan isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana Kamaruddin diperkatakan, Patimah sentiasa berdiri teguh di belakang menantu kesayangannya itu.
Malah Instagram menjadi medan buat wanita itu berkongsi segala duka berhubung situasi menimpa menantu dan dua cucunya yang masih kecil, Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah.
Isteri Datuk Yusof Haslam itu turut lantang menzahirkan kemarahan terhadap tindakan Syamsul yang dianggap membelakangkan Puteri Sarah dan keluarga dengan melangsungkan pernikahan di Thailand.
Semalam, Puteri Sarah mengajukan permohonan cerai terhadap Syamsul di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur bagi merungkaikan kemelut perkahwinannya yang tercetus sejak empat tahun lalu.
Mahkamah Syariah Kuala Lumpur menetapkan 7 Mac depan sebagai tarikh sebutan pertama bagi kes perceraian yang difailkan Puteri Sarah, 38, terhadap Syamsul. – KOSMO! ONLINE