PETALING JAYA – “Selepas tengok gambar ini baru aku percaya mereka berdua telah berkahwin.”
Itu antara respons netizen berhubung perkahwinan mengejutkan penyanyi Fyna Jebat bersama jurulatih bola sepak terkenal negara Datuk Zainal Abidin Hassan.
Kemesraan dan keterbukaan Zainal bersama Fyna yang baru dilihat keluar bersama itu ‘tertangkap’ dalam perkongsian pelakon popular, Datuk Mustapha Kamal
Mustapha yang terkenal dengan jolokan Papa Megah Holding itu berkongsi beberapa keping gambar dalam TikToknya ketika secara kebetulan terjumpa dengan sahabat lamanya, Zainal bersama isteri baharu, Fyna sekali gus membuktikan kenyataan bahawa mereka sudah berkahwin.
“Salam, kebetulan, baru terserempak dengan lagenda Zainal Abidin Hassan. Kawan lama. Hanya yang terbaik untuk anda berdua, tahniah,” tulis Mustapha dalam kapsyen.
Tinjauan Kosmo! dalam ruangan komen, rata-rata netizen akhirnya berpuas hati dan percaya bahawa pasangan itu telah berkahwin serta sah menjadi suami isteri memandangkan tiada sekeping pun gambar perkahwinan mereka yang dimuat naik sebelum ini.
“Selepas tengok gambar ini baru aku percaya mereka berdua telah berkahwin, sebelum ini macam tidak percaya dan mustahil sahaja. Apa pun, selamat pengantin baru,” komen netizen itu.
“Inilah yang dinamakan jodoh, akhirnya bernikah jua, Selamat Pengantin Baru Datuk Zainal dan Fyna, moga bahagia hingga ke akhirnya,” tulis seorang netizen lagi.
“Tua ke muda ke itu bukanlah menjadi satu halangan, yang penting hati budi dan jiwa yang saling mencintai lebih daripada semua itu, Selamat Pengantin Baru,” komen seorang lagi netizen.
Terdahulu, Fyna atau nama sebenarnya Nur Syafinaz Jebat, 29, yang juga adik kepada pelakon Ayda Jebat itu enggan memperincikan butiran lanjut, termasuk tarikh perkahwinan mereka namun pelakon tersebut meminta orang ramai mendoakan yang terbaik untuk masjid yang baru dibinanya bersama suami.
Bagaimanapun, Fyna setakat ini masih belum memuat naik sebarang gambar perkahwinan mahupun gambar bersama suaminya untuk didedahkan kepada umum.
Untuk rekod, Zainal pernah berkahwin kali pertama sekitar tahun 1980-an dan dikurniakan tiga anak.
Zainal cukup terkenal sebagai penyerang skuad kebangsaan era 1980-an dan 1990-an yang membantu Malaysia meraih pelbagai kejayaan. Sehingga kini, bekas jurulatih beberapa pasukan bola sepak tanah air itu belum memberikan sebarang pengesahan berhubung perkahwinan mereka. – KOSMO! ONLINE