fbpx

Nekad terjun tasik selamatkan mangsa kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suzaini (kiri), manakala (kanan) gambar kereta mangsa yang terjunam di Tasik Merdeka di Jalan Parit Bilal, Batu Pahat petang tadi.

BATU PAHAT – Seorang lelaki nekad terjun selepas melihat sebuah kereta Perodua Myvi terjunam ke dalam Tasik Merdeka di Jalan Parit Bilal di sini hari ini untuk menyelamatkan mangsa.

Tindakan berani itu dilakukannya semata-mata untuk menyelamatkan mangsa selepas melihat tiada orang datang membantu.

Suzaini Mohd. Sadali, 43, berkata, tindakan nekadnya itu dilakukan selepas melihat pemandu kereta berkenaan hampir lemas dan tenggelam ke dalam tasik.

Katanya, tindakan pertamanya adalah menarik lelaki berkenaan ke tepi tebing sebelum dibantu oleh orang ramai yang menyaksikan kejadian itu.

“Dua lagi mangsa perempuan yang sudah keluar dari kereta yang terjunam itu saya arahkan duduk diam di atas kereta sebelum tindakan bantuan susulan dilakukan.

“Dengan menggunakan kayu, saya mengarahkan mereka berpaut satu persatu sebelum berjaya dibawa naik ke tebing,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Menurut Suzaini, ketika kejadian dia bersama anak lelakinya yang berusia 12 tahun dalam perjalanan balik dari hospital ke rumah mereka di Parit Bayu Emas.

Suzaini turut bersyukur kerana ketika menyelamatkan mangsa lelaki itu dia turut hampir kehabisan nafas, namun berjaya menggagahkan diri membawa ke tepi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menerima panggilan orang awam berhubung kejadian itu pada jam 1.30 tengah hari.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa kereta berkenaan yang dipandu seorang lelaki bersama dua rakan wanitanya berusia 25 hingga 28 tahun dalam perjalanan dari arah Tongkang Pechah menghala ke arah Batu Pahat.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta dipandu telah hilang kawalan lalu terbabas dan terus masuk ke dalam tasik di sebelah kanan jalan.

“Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) bagi kesalahan gagal mengawal kenderaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI