fbpx

Nangka dikomersialkan sebagai pengganti daging

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Sabirin Arshad (dua kiri) menyerahkan plak projek kepada Ketua Pegawai Eksekutif DSR Taiko Berhad, Datuk Ng Lian Poh (tiga kanan) sambil disaksikan Bahria pada majlis tersebut hari ini. -Foto SADDAM YUSOFF

SHAH ALAM – Nangka yang mempunyai kandungan protein baik akan terus dikomersialkan sebagai bahan pengganti atau alternatif daging.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, kerjasama itu dilakukan bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam mempromosi dan memasarkan produk tersebut khususnya di luar negara.

Katanya, pihaknya telah mengenal pasti 161 hektar ladang nangka di Rawang yang boleh ditingkatkan industrinya sebagai salah satu penyumbang eksport kepada negara.

“Kadang-kadang ada pengguna tidak mahu makan daging (vegetarian) dan menggunakan nangka sebagai bahan penggantinya.

“Kita sudah ada pati daging yang diperbuat daripada nangka. Jadi, kita akan perluaskan untuk pengeksportan ke luar negara,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri majlis penyelesaian perniagaan holistik dari dusun durian musang king kepada pengguna antara SIRIM dan DSR Taiko Berhad yang disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan) MITI, Datuk Bahria Mohd. Jamil.

Jelas Ahmad Sabirin, pihaknya menyasarkan pasaran Amerika Syarikat selepas berjaya menembusi eropah sebelum ini.

“SIRIM membantu nilai tambah terhadap produk tersebut termasuk dari segi kebersihan bagi industri nangka itu,” katanya.

Berhubung kerjasama dalam musang king itu, Ahmad Sabirin memberitahu, projek ini adalah bukti kejayaan strategi serampang dua mata dengan SIRIM dengan syarikat tersebut dari segi teknologi dan kepakaran seterusnya memastikan nilai tambah di sepanjang rantaian durian.

“Justeru, kita dapat membantu mereka mengembangkan lagi perniagaan dan mengangkat durian musang king sebagai satu buah tempatan yang paling banyak dieksport ke luar negara,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI