fbpx

Miliki Ford Mustang, BMW hasil jual dadah dalam disko

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. Shuhaily (kanan) menunjukkan kereta Ford Mustang yang dirampas dalam serbuan di negeri ini ketika sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, George Town, di sini hari.-Foto IQBAL HAMDAN

GEORGE TOWN – Kehidupan ‘kayangan’ tiga pemuda termasuk mampu memiliki kereta mewah Ford Mustang dan BMW pada usia muda akhirnya terbongkar apabila mereka ditahan polis selepas disyaki terlibat sindiket penjualan serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dan ketamin, Jumaat lalu.

Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas dadah bernilai RM129,220 bersama kereta yang dimiliki dengan nilai anggaran lebih RM300,000.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia 22 hingga 32 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasiangan di sekitar bandar ini antara pukul 7 petang hingga 10 malam.

“Serbuan pertama dibuat di sebuah pangsapuri di Jelutong dan polis menahan seorang suspek di sini, manakala dua suspek ditahan dalam serbuan kedua di sebuah kondominium di Lebuh Gat.

“Sindiket ini dipercayai membungkus kesemua dadah yang mempunyai pelbagai perisa antaranya lemon dan oren untuk dicampur di dalam minuman. Kita masih menyiasat dari mana sindiket ini memperoleh bekalan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurutnya, susulan penahanan tiga suspek lelaki itu, polis merampas 151 paket plastik serbuk dadah MDMA seberat 2,507 gram bernilai RM125,350 dan satu paket ketamin seberat 25.8 gram bernilai RM3,870.

“Hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket ini telah bergiat aktif sejak 2022 untuk pasaran tempatan.

“Sindiket ini menjual setiap bungkusan dadah yang dicampur dengan serbuk minuman bermula dari RM180 hingga RM250 dan MDMA tersebut mudah larut dalam air serta memberi kesan seperti pil ekstasi,” katanya.

Beritahu beliau lagi, ketiga-tiga suspek itu mampu hidup mewah kerana memperoleh keuntungan berganda hasil pengedaran dadah tersebut.

“Mereka menyasarkan dadah berkenaan dijual kepada pelanggan yang datang ke kelab malam di sekitar negeri ini.

“Ujian saringan air kencing terhadap ketiga-tiga suspek didapati negatif dadah dan semakan rekod jenayah mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, selain dadah, polis turut menyita empat buah kenderaan termasuk motosikal, wang tunai RM3,559, dua utas rantai leher, seutas rantai tangan, dua bentuk cincin dan loket emas yang kesemuanya bernilai RM441,588.

Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan adalah RM570,808 dan kesemua tangkapan direman tujuh hari sehingga 20 Januari ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI