PASIR PUTEH – Sebuah kedai telekomunikasi di Bangunan Sentosa di sini mengalami kerugian lebih RM5,700 selepas dua buah telefon pintar dilarikan oleh dua lelaki yang menyamar sebagai pelanggan semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, kedua-dua suspek datang ke premis berkenaan sebelum memaklumkan telefon mereka rosak dan meminta agar ia dibaiki.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, selepas dimaklumkan oleh jurujual bahawa telefon itu tidak boleh dibaiki, mereka terus meminta untuk melihat dua unit telefon baharu di rak pameran.
Menurutnya, kedua-dua suspek kemudian terus melarikan diri dengan mengambil kedua-dua telefon tersebut dengan menunggang motosikal jenis Yamaha LC berwarna biru.
“Pemilik kedai berkenaan telah tampil membuat aduan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh pada pukul 5.45 petang semalam.
“Siasatan awal mendapati, jurujual terbabit tergamam dengan kejadian itu tidak dapat mengenal pasti nombor pendaftaran motosikal yang dinaiki kedua-dua suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zaizul Rizal memberitahu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh memaklumkan di balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Muhamamad Nabil Aizat Rusdy di talian 013-623 2713.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Tinjauan Kosmo! di premis berkenaan mendapati perniagaan berjalan seperti biasa dengan keadaan yang lebih berhati-hati apabila beberapa pekerja lelaki diletakkan di depan pintu premis berkenaan.
Jurujual di kedai tersebut enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu atas arahan pemilik kedai berkenaan. – KOSMO! ONLINE