DUNGUN – Mayat seorang pelajar kolej yang lemas tergelincir ketika menjala ikan di Sungai Hulu Paka, berhampiran Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini semalam dijumpai sebentar tadi.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mayat Muhammad Zuhaily Roslan, 21, yang berasal dari Kampung Gong Gemia, Paka di sini ditemui pasukan mencari dan penyelamat pada pukul 2.15 petang.
Beliau berkata, mayat mangsa ditemui pada kedalaman lima meter di dalam dasar sungai berkenaan.
“Lokasi mangsa dijumpai kira-kira 30 meter dari lokasi dia dipercayai tergelincir hampir 24 jam lalu.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan Muhammad Zuhaily tergelincir ketika menjala ikan bersama seorang rakannya di lokasi kejadian.
Dalam kejadian pada pukul 2.30 petang itu, dia dikatakan terpijak pasir jerlus sebelum dihanyutkan arus deras sungai. – KOSMO! ONLINE