SUNGAI BULOH – Mayat seorang lelaki dipotong tujuh bahagian dengan anggota badannya disumbatkan ke dalam bagasi ditemui di tepi Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur Rawang Selatan arah utara di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat lelaki dewasa itu daripada orang awam pada pukul 11.25 pagi.
“Siasatan awal mendapati tiada pengenalan diri ditemui bersama mayat tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Sementara itu, sumber memberitahu, bahagian atas badan mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di lereng bukit di lokasi tersebut.
Menurut sumber itu, terdapat sebuah bagasi dijumpai berhampiran mayat mangsa.
Di dalam bagasi tersebut terdapat kepala manusia dan beberapa anggota badan lain dipercayai milik si mati.
Siasatan lanjut berhubung penemuan mayat tersebut sedang dilakukan oleh pasukan forensik.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE