fbpx

Maxis, Mardi bangunkan penyelesaian berasaskan pertanian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Featherstone (dua dari kiri) bersama Mohamad Zabawi (dua dari kanan) pada majlis pemeteraian MoU di Kuala Lumpur.

PETALING JAYA – Maxis telah bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) melalui memorandum persefahaman yang dimeterai bagi membangunkan penyelesaian berasaskan pertanian dan agrimakanan.

Kedua-dua pihak akan memanfaatkan keupayaan masing-masing untuk meintegrasikan kejuruteraan dan ICT dalam projek-projek bagi industri pertanian yang mampan serta berdaya saing.

Sebagai perintis, kedua-dua pihak  akan mengusahakan ketepatan pertanian untuk halia di kemudahan Mardi di seluruh negara dan mereka bakal menggunakan sistem automatik untuk menggunakan fertigasi dengan baja titisan, analisis data besar serta pengawasan selama 24 jam setiap hari. 

Projek rintis ini bertujuan untuk melancarkan teknologi kepada lebih 400 usahawan pertanian halia bagi meningkatkan kecekapan serta melengkapkan Mardi  dengan data berguna mengenai cara menggunakan teknologi dalam menangani cabaran sekuriti makanan.

Sebelum ini, Maxis pernah bekerjasama dengan Mardi pada tahun 2019 untuk penyelesaian teknologi canggih yang dikuasakan oleh NB-IoT Maxis bagi membantu meningkatkan hasil, kecekapan sumber dan kualiti penanaman anggur yang dihasilkan di Taman Agro Mardi di Langkawi. 

Usaha ini telah membolehkan petani memantau keadaan tanaman mereka dari jauh melalui aplikasi mudah alih. Kerjasama itu juga merupakan salah satu Projek Demonstrasi 5G negara ketika itu.

Ketua Pengarah Mardi, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, kerjasama ini tepat pada masanya kerana pihaknya  menantikan pemodenan amalan pertanian melalui pelaksanaan pendekatan baharu yang berdasarkan teknologi moden dan pembangunan mampan.

“Ia selaras dengan IR4.0 dan Matlamat  Pembangunan Lestari 2030,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini bersempena pemeteraian MoU itu.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Claire Featherstone menjelaskan, integrasi data dan kesalinghubungan adalah kritikal bagi kemajuan industri, dan terdapat banyak peluang untuk meningkatkan produktiviti serta hasil bagi petani tempatan melalui peningkatan automasi. 

“Potensi untuk memodenkan sektor pertanian ini besar dan Maxis teruja untuk bekerjasama dengan Mardi untuk membangunkan serta merintis penyelesaian pintar melalui aplikasi Internet of Things (IoT) dan lebar jalur yang lebih tinggi untuk meningkatkan amalan pertanian harian,” jelas beliau.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI