PETALING JAYA – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) telah menjalankan pemeriksaan mengejut di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) sebagai persediaan menghadapi waktu sibuk bagi perjalanan Tahun Baharu Cina hujung minggu ini.
Pemeriksaan tersebut bertujuan untuk menilai kesiapsiagaan operasi syarikat-syarikat penerbangan dan lapangan terbang terutamanya pada musim-musim perayaan atau cuti di mana trafik penumpang dijangka meningkat.
Pemeriksaan tersebut dilaksanakan susulan kelulusan daripada suruhanjaya terhadap permohonan oleh syarikat-syarikat penerbangan untuk 316 penerbangan tambahan bagi tempoh 18 hingga 31 Januari 2023.
Semalam, Mavcom telah mengeluarkan surat peringatan kepada semua syarikat-syarikat penerbangan tempatan supaya mematuhi jadual penerbangan dan slot-slot yang diluluskan.
Pemeriksaan tersebut disertai oleh anggota-anggota suruhanjaya, ahli-ahli Jawatankuasa Perlindungan Pengguna serta Pengurusan Kanan Suruhanjaya untuk memastikan operasi di lapangan terbang dan pengendalian penumpang diurus dengan baik oleh syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang semasa tempoh genting ini. -KOSMO! ONLINE