fbpx

Lelaki Singapura antara dua didakwa rasuah polis RM90,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH, Donavan Sia Qi Xun (kiri) warga Singapura bersama rakannya, Law Wen Xian (kanan) warga tempatan didakwa atas tuduhan memberi rasuah kepada pegawai polis berjumlah RM90,000 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini. - Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Dua lelaki termasuk seorang warganegara Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan memberi rasuah sebanyak RM90,000 kepada seorang pegawai polis pada Oktober, tahun lalu.

Tertuduh, Law Wen Xiang, 32, dan Donovan Sia Qi Xun, 27, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Wen Xiang dan Qi Xun didakwa telah memberi rasuah sebanyak RM90,000 kepada seorang pegawai berpangkat inspektor yang bertugas sebagai Pegawai Risikan dan Operasi, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di hadapan sebuah restoran di Jalan Suria 19, Taman Suria Johor Bahru pada pukul 5.45 petang, 17 Oktober tahun lalu.

Mereka didakwa melakukan sogokan tersebut bertujuan agar anggota polis terbabit tidak mengambil tindakan ke atas Qi Xun yang merupakan warganegara Singapura itu kerana dipercayai telah melakukan kesalahan penipuan.

Atas perbuatan tersebut, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun beserta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Sementara itu, Wen Xiang dan Qi Xun turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan dengan melibatkan jenayah sama mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara boleh sampai satu perempat daripada tempoh yang lama atau dengan denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Chan Choon Yew memberitahu, kesalahan tersebut adalah kesalahan tidak boleh jamin namun sekiranya mahkamah membenarkan, beliau meminta jaminan ditetapkan sebanyak RM70,000 seorang.

Dalam pada itu, peguam Wen Xiang, K. Veeranesh Babu meminta mahkamah memberikan jaminan minimum kepada tertuduh yang bekerja sebagai seorang pembaiki telefon bimbit dengan gaji bulanan sebanyak RM2,000.

Manakala peguam Qi Xun, Mohamad Isa Mohamad Basir turut meminta jaminan rendah kerana anak guamnya merupakan seorang pelajar dan bergantung harap pada wang belanja diberikan ibu bapanya.

Mahkamah kemudian menetapkan kedua-dua tertuduh dikenakan jaminan berjumlah RM40,000 masing-masing dengan seorang penjamin, selain turut perlu melapor diri di Pejabat SPRM Johor sebulan sekali.

Ahmad Kamal Arifin turut menetapkan 19 Februari depan untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen pengurusan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI