KUANTAN – Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) telah mengeluarkan sebanyak 39 Notis Seksyen 32B Akta Makanan 1983 dengan nilai notis RM121,500 kepada penjual, pengilang atau pengedar makanan yang tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Nor Azimi Yunus berkata, notis terbabit dikeluarkan dalam tempoh 9 Januari sehingga 15 Januari bersempena Operasi Premis Makanan Bersih Dan Pelabelan Makanan yang dijalankan bersama 11 Pejabat Kesihatan Daerah melibatkan 82 anggota penguat kuasa.
“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 314 premis makanan telah dilawati dan diperiksa melibatkan 89 premis pasar raya, kedai runcit, mini market dan pemborong, 14 buah kilang memproses makanan dan 211 restoran, kedai makan dan gerai makanan.
“Sebanyak 1,733 produk makanan juga telah disita dengan nilai sitaan berjumlah RM11,544,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, dalam tempoh sama, sebanyak 13 notis telah dikeluarkan di bawah Peraturan 18(1A) kerana label mengandungi akuan-akuan yang dilarang iaitu perkataan yang menyatakan penggredan, kualiti atau kelebihan sesuatu produk makanan.
Selain itu, katanya 10 notis telah dikeluarkan ke atas kesalahan di bawah Peraturan 14(9)(b) kerana menjual makanan yang telah tamat tarikh luput.
“Tujuh notis pula telah dikeluarkan di bawah Peraturan 10(b) kerana tidak mematuhi kehendak bahasa Malaysia atau bahasa Inggeris bagi makanan yang diimport.
“Sebanyak tujuh notis telah dikeluarkan di bawah Peraturan 11 atas kesalahan tidak mematuhi kehendak pelabelan kerana label makanan tersebut tidak mempunyai nama sebutan sebenar makanan dan tidak menyatakan alamat pengilangan atau pengimport makanan,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, bagi operasi premis makanan bersih pula, sebanyak 216 Notis Seksyen 32B Akta Makanan 1983 telah dikeluarkan di bawah Peraturan- Peraturan Kebersihan Makanan 2009 Akta Makanan 1983 dengan nilai notis RM42,850.
“Pelbagai kesalahan telah dikesan sepanjang operasi berlangsung. Sebanyak 162 notis di bawah Peraturan 32 kerana pengendali makanan tidak mematuhi kehendak berhubung pakaian pengendali makanan seperti apron, kasut dan penutup kepala.
“Selain itu, sebanyak 21 notis telah dikeluarkan di bawah Peraturan 33 bagi kesalahan tidak mematuhi kehendak kebersihan diri pengendali makanan seperti berkuku panjang dan memakai perhiasan diri,”katanya.
Dalam pada itu Nor Azimi berkata, sebanyak tujuh buah premis makanan tidak suci telah diberi arahan penutupan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1985 bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan.
“Mana-mana pengimport, pengedar, penjual, pemilik premis makanan dan pengendali makanan yang tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 Akta Makanan 1983 adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun,” katanya.
Katanya lagi, operasi terbabit dijalankan bagi memastikan produk makanan di pasaran selamat dimakan oleh orang awam selain memastikan semua premis makanan berada dalam keadaan bersih dan mematuhi kehendak di dalam Akta Makanan 1983. – KOSMO! ONLINE