fbpx

JKDM Pahang rampas rokok bernilai RM2.169 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Apandi (tengah) menunjukkan sebahagian rokok putih yang dirampas JKDM Pahang pada 5 Januari lalu, di Temerloh hari ini.

TEMERLOH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok selepas merampas rokok putih bernilai RM2.169 juta termasuk duti import dan cukai dalam satu operasi di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) di sini.

Pengarah Kastam Negeri Pahang, Wan Apandi Wan Hassan berkata, dalam operasi pada pukul 8.30 pagi, 5 Januari lalu itu pihak kastam menemukan rokok jenama JDB yang cuba diseludup dalam pemeriksaan pada sebuah lori di kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan rapi ke atas lori itu menemukan muatan berisi rokok yang disyaki barang larangan import dengan anggaran sebanyak 2,860,000 batang rokok yang melibatkan nilai anggaran sebanyak RM258,800 dan jumlah duti serta cukai dianggarkan bernilai RM1,910,480.

“Barang rampasan telah dibawa ke stor cawangan penguatkuasaan Temerloh untuk siasatan lanjut mananaka lelaki tempatan berusia anggaran 50-an yang berada di lokasi turut ditahan untuk membantu siasatan,”katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JKDM Temerloh, di sini hari ini.

Menurut Wan Apandi, berdasarkan siasatan awal, lori yang diletakkan di tempat parkir kenderaan berat itu dipercayai dalam perjalanan dari salah sebuah negeri di Pantai Timur menuju ke ibu kota.

Jelasnya lagi, suspek menggunakan modus operandi dengan menyembunyikan rokok tidak berkastam di dalam lori yang mempunyai nombor pendaftaran palsu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Kes disyaki dilakukan oleh satu sindiket penyeludupan rokok melalui pintu masuk pelabuhan negara dan disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu dengan disedari berurusan dengan barang-barang tidak berkastam di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.

“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM 500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Apandi berharap orang awam dapat membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan sebagainya.

Katanya, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Saya juga menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi
talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam yang terdekat di semua negeri dengan memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat
adalah dirahsiakan,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI