CAROLINA UTARA– Ketua Pasukan Haas, Guenther Steiner mengakui sudah tidak sabar menantikan saingan Formula Satu (F1) 2023 membuka tirainya selepas had kos musim ini dikurangkan ke AS$135 juta (RM585.22 juta).
Selepas menjalinkan kerjasama dengan penaja baharu, Moneygram, pasukan yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu dikatakan sedia untuk berbelanja dengan nilai hampir sama dengan had kos.
Justeru, Steiner percaya, menerusi peraturan had kos yang baharu, Haas mampu untuk menjadi salah sebuah pasukan pencabar, terutamanya selepas semua pasukan perlu mematuhi peraturan tersebut.
“Musim lalu, kami agak ketinggalan dengan had kos AS$140 juta (RM606.90 juta). Bagaimanapun, tahun ini kami akan berbelanja hampir dengan had kos yang ditetapkan, sama seperti pasukan lain.
“Oleh itu, saingan musim baharu nanti tidak bergantung kepada duit semata-mata, ia akan ditentukan oleh bakat pelumba masing-masing. Kami akan pastikan kru teknikal buat yang terbaik,” katanya.
Tambah beliau, Haas sudah mengenal pasti apa yang perlu dilakukan bagi memastikan mereka dapat memberikan cabaran kepada pesaing utama selepas mendapat pengalaman berharga pada kempen 2022.
“Kami sudah kesan beberapa isu, terutamanya dari segi teknikal dan pasukan tahu apa yang perlu dilakukan. Saya tidak tahu mengenai pasukan lain, namun persaingan musim ini boleh dikatakan lebih adil,” ujar Steiner. – AGENSI