fbpx

F&NHB bakal labur RM800 juta untuk ladang integrasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Barisan produk keluaran F&NHB.

PETALING JAYA – Pemilikan Ladang Permai Damai Sdn. Bhd. oleh Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) telah memberi peluang kepada Kumpulan untuk memenuhi cita-cita menceburi perniagaan susu segar huluan bagi pengeluaran hiliran dan pengedaran susu segar. 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Yew Hoe berkata, usaha ini juga akan dapat menyokong Agenda Keselamatan Makanan Negara untuk tenusu dan daging. 

“Kumpulan akan memiliki sebuah perniagaan dan operasi integrasi menegak berasaskan hasil tanaman tempatan untuk makanan haiwan melalui ladang tenusu F&N. 

“Ladang integrasi ini juga akan turut memiliki sebuah kemudahan pemprosesan susu dan dijangka menghasilkan 200 juta liter susu segar setahun melalui 20,000 lembu susu untuk pasaran tempatan dan antarabangsa. 

“Kami sedang meneliti untuk melabur sebanyak RM800 juta bagi ladang integrasi yang mana fasa satu akan beroperasi pada tahun 2024,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-61 di sini.

Yew Hoe menerangkan, pemerolehan Cocoaland Holdings Bhd juga adalah selaras dengan cita-cita Kumpulan untuk menjadi peneraju perniagaan makanan dan minuman yang stabil dan mampan di rantau ASEAN. 

Menurut beliau, pelaburan ini bukan sahaja menambah jenama konfeksi dan snek Malaysia yang mantap ke dalam portfolio Kumpulan tetapi juga bertindak sebagai platform untuk berkembang kepada lebih banyak lagi segmen makan halal dan memenuhi permintaan yang meningkat bagi produk makanan berbungkus.

Mengulas mengenai kilang minuman susu cecair dan berasaskan tanaman Kumpulan yang baharu di Wang Muang, Thailand, beliau menerangkan, kilang yang bernilai RM128 juta itu adalah satu anjakan strategik bagi F&NHB dalam memainkan peranan yang lebih besar dalam segmen kesihatan dan kesejahteraan. 

“Usaha ini merupakan sebagai sebahagian daripada komitmen Kumpulan terhadap nutrisi dan membolehkan Kumpulan mengembangkan jenamanya dalam segmen susu cecair,” ujarnya.

Mengenai unjuran 2023, Yew Hoe melihat ia merupakan tahun mencabar sama seperti tahun sebelumnya ekoran  harga bahan mentah yang bakal meningkat, kemungkinan rantaian bekalan global yang tidak stabil dan risiko kemelesetan yang akan menjejaskan keseluruhan landskap komoditi.

Kumpulan akan terus mengukuhkan langkah-langkah pengurusan kos di tengah-tengah jangkaan kenaikan kadar inflasi bagi barangan komoditi dan bahan mentah serta kesan pandemik Covid-19 yang masih dirasai seperti gangguan rantaian bekalan dan kenaikan kos angkutan. 

“Usaha pengurusan kos tidak akan menjejaskan tumpuan terhadap membina perniagaan terutamanya dalam memanfaatkan sinergi perniagaan Cocoaland dan Ladang Permai Damai untuk Kumpulan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI