LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui bahawa pasukannya perlu turun dan memberikan aksi hampir sempurna dalam setiap perlawanan sekiranya mahu menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris.
The Gunners terus mengukuhkan cengkaman di persada liga dengan kelebihan lapan mata apabila mencatat kemenangan 2-0 ke atas Tottenham Hotspur di White Hart Lane awal pagi semalam untuk meneruskan musim yang cukup baik.
Mengutip 47 mata selepas 18 perlawanan menyaksikan Arsenal mampu untuk meraih sebanyak 99 mata pada penghujung musim nanti sekiranya berjaya mengekalkan prestasi berkenaan sekali gus mampu memintas pencapaian 80 mata buat kali pertama sejak musim 2007/08.
“Pasukan yang mahu memenangi gelaran perlu memburu lebih 90 mata untuk semusim. Saya tidak berminat untuk melakukan pengiraan itu. Kami perlu bersiap untuk menentang Manchester United dan meraih kemenangan lagi selepas ini.
“Anda bertanyakan saya mengenai mata, tetapi ia adalah jumlah yang perlu berdasarkan empat atau lima musim lalu. Saya fikir kami memerlukan kesempurnaan untuk berada pada tahap itu nanti,” katanya.
Kemenangan tersebut bukan sahaja mengekalkan Arsenal sebagai pendahulu liga, tetapi ia cukup manis selepas kali terakhir mereka meraih kemenangan di stadium seteru utamanya itu pada 2014.
“Ia adalah situasi yang baik untuk kami menikmati momen seperti ini dan terus fokus. Saya masuk ke bilik persalinan dan merasai kegembiraan dan semangat para pemain. Ia sangat bermakna buat saya,” jelasnya.
Arsenal berjaya meraih kemenangan tersebut hasil jaringan sendiri penjaga gol Spurs, Hugo Lloris yang tertampan bola ke gawang sendiri selain kapten mereka, Martin Odegaard juga turut meledak satu gol. – AGENSI