AKTOR bertubuh sasa yang suatu masa dahulu pernah menjadi perhatian, Sanjay Dutt dikesan menghidap kanser paru-paru pada 2020 ketika menjalani penggambaran filem Shamshera.
Begitupun, berita mengejutkan tersebut langsung tidak menggoyahkan semangatnya apabila dapat menyempurnakan tugasan hingga ke hari terakhir penggambaran.
Malah, aktor yang kini menginjak 63 tahun itu tidak gentar melawan penyakit dengan menjalani rawatan selain masih aktif bersenam dan bekerja.
Hakikatnya, Sanjay mengakui berdepan ketakutan untuk melalui proses rawatan hingga enggan mengikuti prosedur perubatan.
Mengenang perkara tersebut, Sanjay terus teringat ibunya, mendiang Nargis Dutt yang berjuang melawan barah hingga ke akhir hayatnya.
Melihat keadaan ibunya, dia merasakan lebih baik mati daripada menjalani rawatan kemoterapi yang dimaklumkan kepadanya sebagai menyakitkan.