SEREMBAN – Dua penjawat awam yang bertugas di Negeri Sembilan ditahan reman enam hari bagi membantu siasatan kerana disyaki menyalahgunakan jawatan masing-masing bagi meminta dan menerima sumbangan daripada ahli sebuah pertubuhan demi kepentingan sendiri.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 37 dan dan 43 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Naziah Mohd Alias di Mahkamah Majistret Seremban di sini hari ini.
Naziah membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengeluarkan reman ke atas mereka bermula hari ini sehingga 22 Januari depan.
Menurut sumber SPRM, kedua-dua suspek bertugas di salah sebuah jabatan kerajaan di negeri ini masing-masing sebagai pegawai dan pembantu tadbir umum.
“SPRM Negeri Sembilan membuat tangkapan terhadap dua penjawat awam kerana disyaki menggunakan jawatan dan kedudukan untuk meminta dan menerima sejumlah sumbangan daripada beberapa ahli kehormat dan bersekutu jabatan terbabit.
“Sumbangan dipercayai dimasukkan ke dalam akaun bank milik suspek, isteri dan syarikat milik isteri untuk kepentingan dirinya sendiri. Kesalahan dikesan dilakukan dari tahun 2020 hingga 2022,” katanya.- KOSMO! ONLINE