DALAM diam, penyanyi Eunha rupa-rupanya menyimpan kemas memori zaman awal memasuki dunia seni dapat bekerjasama dengan aktor popular, Song Joong-ki.
Eunha mendedahkan peluang berkongsi naskhah sama dan terlibat dalam sesi latihan lakonan bersama aktor Reborn Rich itu akan tersemat sebagai kenangan terindah dalam hidupnya.
Dalam rancangan Knowing Bros, anggota kumpulan Viviz itu berkongsi kenangan manis apabila dia pernah ditemani Joong-ki ke stesen kereta api ketika hendak pulang ke rumah.
“Saya merupakan pelatih di sebuah syarikat lakonan semasa berada di sekolah rendah.
“Disebabkan masih muda ketika itu, Joong-ki menemani saya ke stesen kereta api bawah tanah untuk pulang ke rumah,” katanya.
Selepas mendengar kisah Eunha, kesemua tetamu dalam rancangan tersebut teruja dan menyoal sama ada Joong-ki ingat kejadian itu.
“Saya tidak fikir begitu kerana perkara tersebut sudah berlaku 15 tahun lalu,” ujar Eunha.