PETALING JAYA – Jabatan Metreologi (MetMalaysia) meramalkan cuaca baik dan cerah di seluruh negara sehingga pukul 10 pagi ini.
MetMalaysia menerusi laman sesawangnya berkata, cerapan cuaca menunjukkan tiada amaran hujan dikeluarkan setakat ini.
Walau bagaimanapun, katanya, amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang tetap dikeluarkan di beberapa kawasan perairan di Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Sarawak, Sabah Barat dan Labuan.
“Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer per jam dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil,” ujarnya.
Dalam pada itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama, kedua dan ketiga melibatkan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu, Kelantan, Condore, Reef North, Samui, Tioman, Bunguran, Reef South, Layang-Layang dan Palawan.
“Amaran ini dijangkakan berterusan sehingga 23 Januari ini.
“Di sepanjang tempoh amaran, keadaan ini adalah amat berbahaya kepada kebanyakan aktiviti pantai dan juga perkapalan termasuklah aktiviti perkhidmatan feri dan juga aktiviti pelantar minyak,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE