fbpx

Beri alasan bantu rakan ketika ditangkap bawa 640 liter petrol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota Maritim Selangor memeriksa tong yang mengandungi minyak petrol yang dibawa bot penumpang itu.

KLANG – Cubaan dua lelaki membawa 640 liter dipercayai minyak petrol dalam bot penumpang dengan alasan mahu membantu rakan mereka yang kehabisan minyak gagal apabila ditahan di kedudukan 0.2 batu nautika utara Pulau Indah, di sini semalam.

Ini berikutan kedua-dua mereka berusia 46 dan 49 tahun yang ditahan kira-kira pukul 11.45 pagi itu telah menyalahgunakan lesen bot.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten V. Siva Kumar berkata, penahanan itu dibuat menerusi Op Ehsan dengan pemeriksaan mendapati bot itu didaftarkan untuk membawa penumpang sahaja.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut menemukan 26 tong mengandungi 640 liter cecair disyaki minyak petrol diletakkan di bahagian belakang bot.

“Siasatan awal mendapati mereka membeli minyak dari stesen minyak di Pelabuhan Klang dan ingin menuju ke Pulau Ketam.

“Nilai kesemua liter minyak itu dianggarkan RM 1,312,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kesemua barangan itu beserta bot dan kru telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau indah untuk siasatan lanjut.

Jelas Siva, kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana disyaki melakukan kesalahan menyalahgunakan lesen bot dan Peraturan Kawalan Bekalan 1961 iaitu membawa barang kawalan tanpa kebenaran

“Maritim Malaysia memandang serius sebarang salah laku di laut dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan aktiviti jenayah di sepanjang zon maritim negara ini,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI