KUALA NERUS – Seekor tuntung laut betina ditemukan mati terdampar dipercayai akibat tersangkut pada pukat nelayan di Pantai Seberang Takir di sini hari ini.
Bangkai reptilia seberat kira-kira lima kilogram itu dijumpai penduduk kampung pada pukul 9.30 pagi.
Seorang pemancing, Ahmad Darwish Ghazali, 33, berkata, penemuan tersebut segera dimaklumkan kepada Jabatan Perikanan Negeri Terengganu.
“Pada mulanya, kami menyangka menjumpai bangkai penyu kerana rupanya seakan-akan sama.
“Begitupun, pegawai perikanan yang tiba mengesahkan ia sebenarnya bangkai tuntung laut yang juga spesies haiwan terancam,” katanya ketika ditemui di Pantai Seberang Takir di sini hari ini.
Ahmad Darwish berkata, pemeriksaan mengesan luka pada bahagian bawah badan kaki tuntung dipercayai akibat terperangkap di dalam pukat.
Bangkai tuntung berkenaan kemudian turut ditanam di kawasan pesisir pantai tersebut oleh kakitangan Jabatan Perikanan Terengganu. – KOSMO! ONLINE