SESEORANG individu itu pastinya mempunyai gaya kegemaran tertentu yang menjadikannya lebih berkeyakinan.
Malah, gaya yang sesuai dengan bentuk tubuh dan keperibadian juga mampu menjadikan seseorang itu lebih menyerlah, selain membentuk identiti penampilan diri.
Bagi seorang model sambilan, Zatul Najahah Muhammad Tarmizi, 31, kerjaya sebagai seorang freelance model memberikan peluang kepadanya meneroka gaya dan dia menemukan suatu gaya yang cukup sesuai dengan dirinya.
Jelas Zatul Najahah yang lebih mesra disapa sebagai Aton, dia amat menggemari pakaian jenis kot (coat) atau jaket pelbagai potongan untuk digayakan sebagai pakaian harian.
Akuinya, biarpun pakaian sedemikian lebih sinonim digayakan di negara-negara beriklim sejuk, namun ia sama sekali tidak menghalang dirinya meminati kot dan menggayakannya sebagai pakaian harian.
“Biarpun tinggal di Malaysia yang merupakan negara beriklim panas, namun saya berpegang kepada prinsip beauty is pain. Saya gemar gayakan kot dan juga pakaian yang lain daripada yang lain,” ujarnya.
Jelas anak kelahiran Pulau Pinang itu lagi, adakalanya, dia juga gemar menggayakan pakaian umpama seorang puteri atau gaya princess biarpun hanya untuk membeli-belah di pasar raya.
Tambah Aton lagi, apabila bergaya, dia gemar memadankan warna skirt yang dipakainya dengan warna tudung.
Baginya, ini bagi mencipta kesenadaan dalam berpakaian.
Bercerita lanjut tentang kerjayanya, Aton berkata, dia sama sekali tidak menyangka akan bergelar seorang model sambilan. Dia hakikatnya hanya memulakan kerjaya tersebut sewaktu dunia dilanda pandemik.
“Saya memulakan kerjaya sebagai model sambilan pada Julai 2020 dan sama sekali tidak menyangka rezeki dan peluang itu datang ketika tempoh sukar itu.
“Namun, saya amat bersyukur kerana Allah SWT memberikan saya peluang untuk merasai pengalaman tersebut,” katanya yang mengakui sememangnya amat meminati dunia peragaan.
Aton sehingga kini sudah pun bekerjasama dengan pelbagai jenama pakaian Muslimah tempatan antaranya Zaraleya, Hijabgaleria, Myravalley dan Lima Segi.
Kongsinya lagi, kerjaya sebagai seorang model tidak semudah yang disangka memandangkan ia menuntut dirinya untuk menjadi seorang yang serba boleh.
“Sebagai model, kami bukan hanya perlu pandai memberikan pose terbaik di hadapan kamera, tetapi kami juga perlu bijak bercakap dan berlakon di hadapan kamera. Saya bersyukur dapat peluang melakukan semua kemahiran ini walaupun ia agak mencabar untuk diri saya yang introvert,” katanya.
Sebagai seorang model Muslimah, Aton juga amat mementingkan gaya yang sopan dan patuh syariah.
Jika dilihat, biarpun gemar berfesyen, dia masih mengekalkan imej sopan dalam semua gaya yang ditampilkan.
“Saya berasa paling selesa dan cantik apabila saya menutup aurat dengan sempurna.
“Justeru, biarpun gemar berfesyen, saya akan memastikan saya menutup aurat secara betul dengan menggayakan stoking tangan dan juga gaya tudung yang menutup dada,” katanya.