fbpx

Aliran trafik meningkat tiga kali ganda menjelang Tahun Baharu Cina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAMARUL ZAMAN (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan pada program Walkabout Kempen Rumah Selamat Sempena Tahun Baharu Cina dan Op Selamat di MidValley Southkey, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Polis menjangkakan kesesakan aliran trafik yang luar biasa menjelang perayaan Tahun Baharu Cina di kedua-dua laluan masuk sempadan Johor-Singapura di Lebuh raya Linkedua, Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah dan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, bilangan kenderaan memasuki negeri ini dijangka meningkat sehingga tiga kali ganda berbanding hari biasa iaitu kira-kira 100,000 kenderaan berulang-alik.

Beliau berkata, pihaknya bersiap sedia untuk menambah bilangan anggota di kedua-dua pintu masuk itu bagi memastikan kelancaran aliran trafik pada waktu puncak bermula pada Jumaat ini.

“Kita menjangkakan kesesakan aliran trafik yang luar biasa, meningkat antara dua hingga tiga Kali ganda berbanding pergerakan harian kira-kira 100,000 kenderaan lalu lalang di kedua-dua pintu masuk ini.

“Justeru, kita akan meningkatkan kawalan keselamatan dan lalu lintas termasuk dengan menambah keanggotaan di waktu puncak bermula Jumaat ini, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Walkabout Kempen Rumah Selamat Sempena Tahun Baharu Cina dan Op Selamat di MidValley Southkey, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Polis Johor, Timbalan Komisioner M. Kumar.

Kamarul Zaman berkata, dilaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution akan mengadakan mesyuarat khas tentang kesesakan di BSI dan KSAB pada minggu ini.

Beliau berkata, semua kaunter termasuk laluan pejalan kaki dibuka dengan menempatkan maksimum 250 pegawai dan anggota polis yang akan melancarkan trafik di kedua-dua pintu masuk.

“Bagi memastikan keanggotaan mencukupi bagi tempoh musim perayaan ini, kita hanya meluluskan permohonan 10 peratus pegawai dan anggota polis yang akan bercuti pada Tahun Baharu Cina ini.

“Selain menumpukan kepada Op Selamat dan Kempen Rumah Selamat, polis juga membuat rondaan di premis perniagaan dan kawasan perumahan,”katanya.

Tambahnya, Kempen Rumah Selamat pada tahun menyaksikan tidak berlaku sebarang kejadian kes pecah rumah direkodkan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI