fbpx

Ahmad Zahid arah jambatan uzur dibaik pulih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penghulu Kampung Orang Asli Brooke Lama, Rian Bujang menunjukkan jambatan gantung merentasi Sungai Belatop di Kampung Brooke Lama, Pos Brooke, Gua Musang, Kelantan.

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan agar tindakan baik pulih atau penambahbaikan dilakukan ke atas sebuah jambatan uzur di Kampung Orang Asli Brooke Lama, Pos Brooke di Gua Musang, Kelantan.

Ahmad Zahid berkata, beliau amat prihatin setelah membaca sebuah artikel tentang keadaan jambatan uzur tersebut yang menyebabkan penduduk di kawasan berkenaan berdepan risiko keselamatan termasuk kehilangan nyawa.

“Seperti yang dilaporkan, hampir 500 penduduk Orang Asli berhampiran Kampung Orang Asli Brooke Lama menggunakan jambatan tersebut untuk pelbagai tujuan termasuklah menghantar anak ke sekolah.

“Setelah siasatan dijalankan, saya dimaklumkan bahawa jambatan tersebut bukanlah satu-satunya laluan keluar masuk yang ada di kawasan tersebut dan pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) telah membina sebuah jalan konkrit di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, jalan konkrit tersebut telah dibina di bahagian belakang kawasan kampung yang seterusnya bersambung dengan jalan berturap tar menuju ke Kampung Orang Asli Liak dan Kuala Rengil.

“Jalan konkrit tersebut juga merupakan laluan utama dan boleh diakses oleh kereta, pacuan empat roda dan motosikal.

“Namun begitu, saya telah meminta pihak Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Jakoa Kelantan untuk mengambil tindakan segera dan sekiranya memerlukan proses baik pulih atau penambahbaikan, ia akan dilakukan demi keselamatan penduduk di situ,” ujar beliau.

Terdahulu, akhbar Kosmo! hari ini melaporkan lebih 500 penduduk Orang Asli dari Kampung Brooke Lama berdepan risiko termasuk kehilangan nyawa apabila menggunakan jambatan gantung berusia 15 tahun yang sudah uzur merentasi Sungai Belatop untuk urusan harian termasuk menghantar anak ke sekolah.

Penghulu Kampung Brooke Lama, Rian Bujang berkata, jambatan gantung itu dibina selepas banjir pada 2008 apabila jamba­tan asal telah runtuh.

Beliau dilaporkan berkata, jambatan itu merupakan satu-satunya laluan penduduk yang digunakan setiap hari sehingga keadaan strukturnya semakin uzur. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI