SEREMBAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah merampas sebanyak 5,100 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi dari sebuah premis pembungkus barang kawalan di Metro Park, Sendayan di sini semalam.
Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, dalam pemeriksaan yang dijalankan oleh pasukan penguatkuasa KPDN mendapati syarikat tersebut telah menyimpan barang kawalan minyak paket bersubsi di tempat tidak dilesenkan.
“Ketika pemeriksaan, terdapat minyak masak paket bersubsidi yang siap dibungkus di lot premis yang tidak didaftarkan di dalam lesen barang kawalan milik syarikat berkenaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, pihak syarikat tiada membuat sebarang permohonan untuk mendaftarkan lot premis berkenaan sebagai tempat penyimpanan barang kawalan iaitu minyak masak bersubsidi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Muhammad Zahir, tindakan kes itu adalah hasil pemantauan susulan dilakukan pihaknya ke atas syarikat pembungkus minyak masak bersubsidi di Negeri Sembilan.
“Hasil serbuan ini, sebanyak 5,100 kg minyak masak paket bersubsidi serta dokumen-dokumen berkaitan telah disita bagi tujuan siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM 12,750,” katanya.
Beliau berkata, KPDN Negeri Sembilan komited di dalam pemantauan berkaitan barangan keperluan asas pengguna terutamanya berkaitan barangan kawalan untuk mencegah sebarang aktiviti penyelewengan di pasaran.
“Justeru, amaran kepada mana-mana pihak yang berurusan dengan barang kawalan berjadual agar mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.
“KPDN Negeri Sembilan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melakukan aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang yang dikuatkuasakan,” katanya.