fbpx

‘UMNO hanya gali kubur sendiri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2022 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur minggu lalu.

PETALING JAYA – Keputusan UMNO untuk tidak mempertan­dingkan dua jawatan tertinggi parti itu dalam pemilihan akan datang dilihat umpama ‘menggali kubur sendiri’.

Menjelaskan perkara itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr. Jeniri Amir berkata, keputusan tersebut juga dilihat sebagai mesej kepada rakyat terutamanya pengundi Melayu bahawa UMNO tidak mahu berubah dan tiada tekad politik untuk melakukan transformasi.

Jeniri berkata, tindakan itu juga seolah-oleh menutup ­ruang demokrasi dan melindungi pe­mimpin di atas sedangkan kekalahan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di­sebabkan krisis kepimpinan serta kredibiliti pemimpin.

“Saya lihat keputusan ini tidak baik untuk masa depan UMNO, sepatutnya mereka bersedia dua jawatan itu (presiden dan timbalan presiden) dipertandingkan kerana jika menang ia akan me­ngukuhkan kedudukan serta keabsahan mereka.

“Sebenarnya, bukan mudah bagi sesiapa yang menentang kedua-dua jawatan itu untuk menang walaupun yang bertanding itu nama besar seperti KJ (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) atau Hishammuddin (Datuk Seri Hishammuddin Hussein) sekali pun,” katanya kepada Kosmo!

Jeniri menambah, sepatutnya Presiden dan Timbalan Presiden menggunakan medan pertandi­ngan ini untuk menguji kekuatan mereka kerana peluang untuk menang adalah besar.

Bagaimanapun, peluang itu tidak digunakan dan ia amat tidak baik untuk UMNO pada masa hadapan terutamanya selepas mereka kalah teruk PRU15.

“Walaupun mereka telah menampilkan ramai muka baharu dalam PRU lalu sebagai proses peremajaan parti, tetapi itu tidak cukup memperlihatkan UMNO sudah berubah.

“Seharusnya UMNO perlu membuka ruang pertandingan kepada dua jawatan tertinggi seperti jawatan lain. Kenapa perlu menutup ruang ini sedangkan jawatan lain dipertandingkan?

“Sepatutnya Zahid (Ahmad Zahid) sendiri yang membuka ­ruang (pertandingan) ini supaya dia dilihat ada keazaman politik dan kebolehan. Jangan jadikan sentimen takut parti berpecah dan wujud ketidakstabilan sebagai alasan,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI